Monday, February 25, 2013

Aksi jijik budak sekolah merakam pelajar perempuan diraba beramai-ramai

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (Pemuda PAS Wilayah) mengutuk tindakan jijik pelajar-pelajar sekolah yang melakukan aksi lucah, meraba serta merakamkan kegiatan tidak bermoral itu untuk disebarkan melalui telefon bimbit.


Pendedahan muka depan akhbar Harian Metro yang bertajuk “Aksi jijik budak sekolah” hari ini amat mendukacitakan dan mengaibkan kita.
Pemuda PAS Wilayah mengesa agar pihak Polis dan Kementerian Pelajaran Malaysia menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Tindakan biadap ini telah menjatuhkan imej  institusi pendidikan negara ini. Kita gah dengan pelbagai sistem dan program pendidikan yang dikatakan antara yang paling baik dirantau ini. Namun disebalik gahnya pakaian seragam sekolah yang kita banggakan selama ini, pelajar-pelajar kita semakin hanyut dengan dunia remaja mereka.
Sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak hingga menyediakan mereka telefon bimbit yang begitu canggih serta boleh merakam gambar dan disalah gunakan seperti ini amatlah dikesali. Tidak salah untuk ibu bapa menyediakan telefon bimbit untuk memudahkan mereka menghubungi anak-anak mereka pada bila-bila masa, tetapi perlu ada pemantauan yang kerap dan telefon bimbit berkamera bukanlah satu keperluan penting pada usia mereka yang masih mentah untuk menilai sesuatu yang baik atau yang buruk. Akal budi mereka masih muda dan perlu dididik dengan baik lagi.
Ibu bapa kini juga seharusnya bersikap sensitif terhadap kisah-kisah jenayah dan seks bebas khususnya yang berlaku kalangan anak-anak remaja dan pelajar sekolah masa kini. Remaja memang tidak suka dikongkong tetapi itu tidak bermakna mereka harus diberikan kebebasan tanpa batasan sebegini. Ibu bapa perlu memerhatikan anak-anak mereka, mengenali kawan-kawan mereka dan tahu aktiviti mereka diluar rumah atau diluar waktu persekolahan.
Ibu bapa juga perlulah memperbanyakan masa bersama mereka dan memahami masalah mereka serta berkongsi kehidupan bersama mereka dalam erti kata yang sebenar bukannya sekadar ikatan antara anak dan ibu bapa sahaja. Diusia semuda ini, mereka perlukan ramai kawan dan ibu bapalah kawan mereka yang terbaik.
Sekali lagi, Pemuda PAS Wilayah menegaskan agar pihak Kerajaan dan Polis mengambil langkah-langkah drastik terhadap perkara ini demi menjaga nama baik institusi pendidikan dan akhlak pelajar di negara ini. Kita tidak mahu negara ini diwariskan kepada generasi yang rosak seperti ini. Kita mahu negara ini kelak dipimpin oleh mereka yang berakal, berdisiplin dan sensitif terhadap masa depan mereka dan negara.
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
———–> Petikan Harian Metro
Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
KUANTAN: Perbuatan merakam aksi lucah melalui telefon bimbit bukan saja mudah dilakukan, malah kini makin menjadi-jadi.
Terbaru membabitkan klip video memaparkan sekumpulan pelajar lelaki sekolah menengah mencabul seorang pelajar perempuan di tepi parit.
Selepas klip video aksi kurang ajar kumpulan Mat Rempit merakam aksi melampau mereka mencabul seorang gadis bertudung disebar menggunakan telefon bimbit baru-baru ini, kini klip video terbaru bertajuk ‘budak sekolah berani’ itu hangat diperkatakan di kalangan pelajar.
Rakaman tiga minit sembilan saat itu menunjukkan tiga hingga empat pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah menengah rakus meraba tubuh gadis itu yang juga memakai seragam sekolah iaitu baju kurung putih dan kain biru muda.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Arsyad Khan, 45, berkata dia menemui klip video perbuatan jijik pelajar sekolah terbabit dalam telefon bimbit anak lelakinya berusia 16 tahun.
Katanya, dia memeriksa telefon bimbit itu selepas terdengar perbualan anaknya dengan seorang rakan sebaya di luar rumah.
“Ketika itu, saya berehat sambil bersandar di tepi tingkap. Tak lama kemudian, seorang rakan anak saya datang dan mereka berbual di luar rumah berhampiran tempat saya bersandar.
“Awalnya, mereka berbual perkara biasa. Namun, lama-kelamaan perbualan mereka menjurus kepada perkara berbaur lucah membuatkan saya memasang telinga untuk mengetahui apa yang mereka bualkan,” katanya.
Arsyad turut mengintai kedua-dua remaja itu di sebalik cermin tingkap dan mendapati masing-masing memegang telefon bimbit.
Dia mengesyaki anak dan rakannya mungkin menonton sesuatu yang kurang elok dalam telefon bimbit mereka.
Atas rasa ingin tahu, dia memanggil anaknya dan meminta telefon bimbit itu untuk diperiksa.
“Anak saya mendakwa dia dan rakan hanya melihat klip video biasa dan enggan menyerahkan telefon bimbitnya. Namun, sebagai bapa saya berkeras meminta telefon bimbit itu,” katanya.
Katanya, dia terkejut apabila mendapati telefon bimbit itu mengandungi klip video aksi lucah yang dirakam sekumpulan pelajar sekolah menengah.
Rakaman itu menunjukkan seorang gadis tidak bertudung ditelentangkan di tepi parit sedang dicabul beberapa pelajar lelaki
Seorang lagi pelajar merakam perbuatan itu daripada pelbagai sudut.
Menurutnya, dia jijik melihat perbuatan pelajar sekolah terbabit yang diumpamakan sebagai binatang.
“Perbuatan mereka macam binatang kerana tak segan-silu mencabul gadis, apatah lagi di tempat terbuka pada waktu siang. Pelajar perempuan itu tidak diketahui keadaannya sama ada rela diperlakukan sedemikian atau dikhayalkan pelajar lelaki terbabit.
“Ada kemungkinan mereka terikut-ikut dengan aksi lucah yang melambak di pasaran gelap sekarang. Saya kesal kerana jika pada usia remaja sudah menunjukkan perbuatan yang melampau, apa akan jadi apabila mereka meningkat dewasa,” katanya.
Kata Arsyad, anaknya mendakwa klip video itu diperoleh daripada rakan yang dipindahkan melalui ‘bluetooth’.
Ini yang mendorong anaknya memiliki klip video itu kerana ia dimiliki ramai rakannya.
“Bagaimanapun, saya menasihatinya jangan lagi menyimpan klip video seperti itu kerana boleh merosakkan akhlak.
“Saya bimbang jika penyebaran klip video ini di kalangan pelajar tidak dikawal, ia boleh mempengaruhi pemikiran mereka kepada gejala seks bebas,” katanya.
Mengulas gejala semakin teruk dilakukan sesetengah remaja gila seks, penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, berkata golongan itu cuba meniru adegan lucah daripada klip video yang pernah ditonton dengan merakam sendiri aksi lucah mereka bersama rakan.
“Gejala ini bukan perkara baru, ia kerap dibangkitkan terutama dalam media. Namun, sikap ibu bapa yang mahu melindungi perbuatan anak mereka kerana bimbang dikenakan hukuman berat membuatkan masalah ini dianggap terpencil.
“Realitinya, perkara sebegini berlaku bukan saja di bandar, malah di mana-mana. Masalah bertambah besar jika ia berlaku di sekolah tetapi pihak sekolah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa kerana bimbang mendapat prestasi buruk,” katanya.
Baginya, disebabkan pihak sekolah merahsiakan perbuatan itu, langkah pencegahan sukar diambil kerana pelajar menganggap ia bukan kesalahan besar.
Apabila tiada tindakan tegas diambil, kesannya pelajar terbabit akan menjadikan perbuatan mencabul itu sebagai tabiat hingga dewasa.
“Lebih buruk, keseronokan yang dilakukan tanpa memikirkan risikonya itu bakal mendorong pelakunya melakukan jenayah seksual,” katanya.
Sehubungan itu, Kamal Affendi meminta pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memandang serius isu seks bebas di kalangan pelajar supaya dapat menangani gejala negatif itu.
“Lazimnya, apabila jenayah dilakukan pelajar, ia cuba ditutup kerana menganggap si pelaku masih mentah lalu memberi kelonggaran kepada mereka.
“Sedangkan, kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment