ANGGOTA
Penguat Kuasa JAIJ (kanan) bertanyakan sesuatu kepada sepasang kekasih
dalam serbuan di sebuah hotel di Johor Bahru, malam kelmarin. -
UTUSAN/Baazlan Ibrahim.
JOHOR BAHRU 14 Feb. - Seorang wanita yang pernah dua
kali ditahan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) kerana berkhalwat, sekali
lagi dicekup dalam Ops Kekasih di sebuah hotel murah di Taman Puteri
Wangsa di sini, semalam.
Wanita berusia 22 tahun dan pasangannya berusia 30-an itu dicekup dalam serbuan yang dijalankan sempena Hari Kekasih atau Valentine's Day pukul 11.30 malam.
Difahamkan, wanita yang bekerja di sebuah kilang dan berasal dari Felda
Tebrau di sini itu didapati bersama lelaki yang berlainan setiap kali
ditahan.
Pemeriksaan lanjut di bilik yang disewa oleh pasangan itu turut menemui peralatan dan dadah dipercayai jenis syabu.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaannya, Mohd. Zamri Kambari berkata,
102 orang ditahan di seluruh negeri ini dalam operasi selama tujuh jam
bermula pukul 10 malam.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 38 orang ditahan di Johor
Bahru; Kulaijaya (15), Kluang (13), Pontian (8), Kota Tinggi (8), Batu
Pahat (6) manakala Muar, Segamat dan Ledang seramai empat orang.
"Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 40 tahun ini ditahan dalam beberapa serbuan di hotel bajet dan tempat awam.
"Daripada jumlah tersebut, 94 orang merupakan rakyat tempatan, tujuh
warganegara Indonesia dan seorang warganegara Bangladesh," katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, 44, pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 27
(1)(a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana
berkhalwat.
Katanya, 12 orang disiasat mengikut Seksyen 29 enakmen sama kesalahan
berkelakuan tidak sopan di tempat awam dan dua orang di bawah Seksyen 19
enakmen sama kerana meminum minuman memabukkan.
Kesemua mereka diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu pendakwaan.
-utusan
No comments:
Post a Comment