Linda Onn Malu Dan Terkilan Dipanggil ‘Bengong’ Depan Perdana Menteri
Terkilan, malu dan terasa! Itulah perasaan yang boleh digambarkan oleh
penyampai radio dan pengacara popular, Linda Onn setelah digelar
‘bengong’ oleh seorang pelawak di sebuah majlis yang diadakan pada bulan
Syawal yang mulia. Menurut Linda, ini pertama kali dia mengalami
pengalaman sedemikian dan nyata terkejut apabila di perlakukan
sedemikian.
Walaupun ianya tidak digembar-gemburkan, perkara ini harus diperjelaskan
agar ianya tidak berulang kepada pengacara dan pelawak lain. Portal
murai.com.my telah menghubungi Linda Onn sendiri setelah membaca status
laman rasmi Twitternya yang ditulis Linda pada minggu lalu.
“Dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh Tengku Mahkota, Perdana
Menteri dan isteri, Menteri Besar, kenamaan dan jemputan yang lain saya
telah dipanggil ‘bengong’ dan dia (pelawak) telah menunjukkan jari
kepada saya dan mengarahkan saya turun dari pentas.
“Saya kurang jelas mengenai maksud sebenar dia berbuat demikian,
namun begitu bagi saya dalam keterujaan berlawak masih ada batas dan
etikanya. Ketika di panggil demikian saya tergamam, dan tidak tahu apa
yang perlu saya buat.
“Ini bukan pertama kali saya berkongsi pentas dengan pelawak.
Walaupun mereka ada ‘lesen besar’ untuk berlawak tetapi sesama pelawak
mungkin mereka sudah arif dengan cara masing-masing. Tetapi sebagai
pengacara saya kurang selesa apabila digelar sedemikian rupa,”ujarnya
yang merasakan tindakan pelawak itu seolah menjatuhkan air mukanya.
Linda yang pernah mengacara bersama pelawak lain seperti Saiful Apek,
Zizan, Sharifah Shahira dan Sepah namun dia tidak pernah mengalami
situasi yang memalukan dirinya. Baginya jika mengadakan persembahan
terbuka, pelawak malah pengacara harus tahu etika dan had beraksi di
atas pentas.
Pelawak itu juga tidak bertindak memohon maaf atau merasakan tindakannya
itu keterlaluan menurut Linda lagi. Namun bagi Linda dia terkilan
dengan apa yang berlaku dan berharap ia menjadi pengajaran kepada
pelawak lain supaya lebih peka kala berjenaka.
“Mungkin bagi pelawak tersebut, ia merupakan satu senda gurauan atau
cara mereka berinteraksi. Saya pun tidak menuntut dia memohon maaf
tetapi sedikit terkilan dan rasa dimalukan di hadapan tetamu yang hadir.
“Pasangan pengacara saya ketika majlis tersebut berlangsung juga
terkejut namun kami hanya meneruskan tugas kami,”jelasnya yang nyata
kesal diperlakukan sedemikian.
Linda juga berkata, sebagai individu yang sudah lama mengacara dia
berharap para pelawak atau sesiapa sahaja yang bertindak melakukan
persembahan terbuka bersikap lebih peka dengan keadaan sekeliling.
“Semua gerak laku kita diperhatikan dan setiap tutur yang diucapkan
harus lebih berhati-hati agar tidak mengguriskan perasaan sesiapa yang
ada menonton ketika itu, apatah lagi jika selebriti popular yang sering
menjadi perhatian”pesannya lagi. (Murai.com.my)
No comments:
Post a Comment