....semasa sambut Hari Jadi

KANGAR: “Hancur hati apabila melihat isteri terlebih dulu merayakan
ulang tahun kelahirannya dengan lelaki lain dalam bilik hotel, sedangkan
saya membeli kek kesukaannya dan sejambak bunga untuk diraikan bersama
di rumah,” luah seorang suami yang kecewa dengan perbuatan curang
isterinya apabila ditangkap khalwat, awal pagi semalam.
Suami berusia 31 tahun dari Sungai Petani, Kedah, itu berkata, dia melihat dengan jelas kecurangan isterinya
bersama seorang lelaki bukan Islam ketika pegawai pencegah maksiat
Perlis melakukan serbuan di bilik hotel terbabit.
Katanya,
kelmarin, genap usia isterinya yang ke-31 tahun dan dia bercadang
membuat kejutan untuk meraikan sambutan bersama dengan membeli kek krim
buah dan sejambak bunga tanpa pengetahuan isteri.
“Selepas membeli kek dan bunga, saya pulang ke rumah di Sungai Layar,
Sungai Petani. Apabila tiba berhampiran pekarangan rumah, saya melihat
kelibat isteri masuk dalam sebuah kereta dan memandu seorang diri.
“Disebabkan berasa tidak sedap hati, saya terus mengekori isteri dan
rupa-rupanya dia memandu sampai ke sebuah hotel di Kangar,” katanya
ketika ditemui di sini.
Wanita terbabit ditahan ketika sedang berdua-duaan dengan seorang lelaki
Cina dalam sebuah bilik hotel oleh sepasukan empat anggota penguat
kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) jam 5.30 pagi.
Wanita yang bertugas sebagai pegawai imigresen di Sungai Petani itu,
sanggup memandu kenderaan sejauh 80 kilometer untuk melakukan maksiat
bagi meraikan ulang tahunnya bersama lelaki berusia awal 30-an dari
Perlis itu.
Suami terbabit yang bertugas sebagai juruteknik kanan di sebuah kilang
di Sungai Petani berkata, dia terserempak dengan anggota Jaips yang
melakukan serbuan di bilik hotel terbabit.
“Saya kaku sebentar melihat kelibat isteri bersama lelaki lain dalam
bilik hotel itu. Kami mempunyai dua anak perempuan berusia dua dan enam
tahun hasil perkongsian hidup sejak lapan tahun lalu,” katanya sambil
menunjukkan kek buah bernilai RM35 yang dibelinya untuk isteri kepada
petugas media di sini.
Dia berkata, khabar angin yang didengarnya sebelum ini berhubung
kecurangan isterinya yang mempunyai empat telefon bimbit ternyata benar.
“Saya mengakui sudah pasrah dengan kejadian itu dan selepas ini, tumpuan
saya hanya kepada dua anak perempuan. Saya akan memberi didikan agama
sempurna kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jaips, Abdul Malik Hussin, mengesahkan penahanan
wanita dari Sungai Petani itu bersama lelaki bukan mahram dalam sebuah
bilik hotel, bagaimanapun lelaki berkenaan dibebaskan kerana bukan
Islam.
“Hasil maklumat awam, empat anggota Jaips bergegas ke lokasi dan
mengetuk pintu bilik hotel sebelum dibuka seorang wanita dan hasil
pemeriksaan kami menemui seorang lelaki bukan Islam di atas katil.
“Wanita yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Sungai Petani
memberi alasan kononnya sedang mengadakan perbincangan perniagaan dengan
lelaki berkenaan ketika serbuan jam 5.30 pagi,” katanya.
Beliau berkata, wanita terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 9 Enakmen
Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis dan jika sabit kesalahan boleh
dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau
kedua-duanya sekali.
“Selepas mengambil keterangan, wanita itu dibebaskan dengan bon jaminan
RM2,000 yang dibayar seorang penjamin kira-kira jam 12 tengah hari dan
kes akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah, Rabu ini,” katanya.
DUNIA DAH TERBALIK YOP...Herman-Dulu kita sering dikejutkan dengan kisah suami main kayu tiga…sekarang sudah terbalik pula. Para suami & isteri diluar sana, jadikan ini sebagai pengajaran. Kalau pun tak nak taat pd pasangan masing-masing, taatlah pada Allah.
SUMBER: http://pengempaq.blogspot.com/2013/03/ditangkap-khalwat-oleh-suami-sendiri.html
No comments:
Post a Comment